Tuesday, December 6, 2011

UTAMA KAN URUSAN DAKWAH MU

Assalamualaikum wrt. wbt.

Kata seorang syeikh tarbiyah yang sedang menunggu kedatangan kita:
“Memiliki tak semestinya menikmati. Menikmati tak semestinya memiliki. Memiliki tapi tidak menikmati adalah perkara yang amat menyedihkan.”

Dan dengan tarbiyah telah banyak yang kita nikmati tanpa kita sendiri miliki. Ramai pula orang lain yang dilihat begitu banyak memiliki, tapi tidak mampu menikmati.

“Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasan-Nya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).” (Surah At-Taghabun: 17)

Begitu juga dengan kita yang ditarbiyah, akan sentiasa cuba memberi pinjaman yang baik yang kita miliki kepada dakwah ini.

Apa saja.

Bila-bila masa.

Melihat maslahat dakwah mengatasi musykilah fardi kita.

Inilah petanda awal kemenangan seruan ini. Tenteranya siap mengorbankan apa saja demi melihat cita-cita tertinggi seruan ini terlaksana.

Khadijah r.a yang kaya raya pada awalnya, telah jatuh miskin di akhir hayatnya. Habis semua hartanya diinfaqkan ke jalan ALLAH. Malah telah berwasiat untuk menginfaqkan tulang-tulangnya jika diperlukan oleh Islam selepas beliau meninggal dunia.

Hanzalah, terus maju ke medan perang walaupun baru semalam bersama dengan isteri yang baru dikahwininya. Dirinya syahid dalam keadaan berhadas besar. Apa kes nih?

Tidakkah kita lihat betapa bersungguhnya mereka memenuhi tuntutan dakwah ini?

Ada yang wujud, mengambil mudah urusan dakwah ini. Boleh saja tinggal ikut suka hati.

Bila dia rasa nak balik, dia balik.

Bila dia rasa tension, dia rehat ikut suka hati.

Bila dia rasa banyak kerja, dia lepaskan segalanya dengan bersahaja.

Bila bertembung dengan urusan peribadi, meminta dakwah memahami kehendak peribadinya!

Seakan-akan cita-cita peribadinya itu jauh lebih tinggi mengatasi cita-cita dakwah ini! Sedangkan ada sahaja cara yang boleh digunakan untuk sentiasa memenangkan dakwah. Tiada mujahadah atau usaha yang bersungguh-sungguh.

Mana pergi kefahamanmu? Mana pergi cita-citamu untuk dakwah ini?

Suatu hari Maududi pernah berkata:
”Bila kalian menyambut tugas dakwah ini tidak sebagaimana sikap kalian terhadap tugas yang menyangkut urusan peribadi kalian maka dakwah ini akan mengalami kekalahan yang nyata. Oleh kerana itu sambutlah tugas ini dengan ghairah.”

Lihatlah tuntutan dakwah ini melebihi tuntutan peribadimu!

Kerana cita-cita dakwah ini terlalu tinggi, mahu Islam ini dihormati di seluruh dunia! Merentasi benua!

Sementara cita-cita kamu hanya kecil. Menjadi seorang engineer, doktor, lawyer, cikgu, suami/isteri/mak/ayah dan.. (apa lagi ya?) di syarikat yang besarnya, hmmm… tak sebesar macam Malaysia pun…

Renung-renungkan dan ambillah iktibar. :)
 
(Source : KhadimulQuran)

No comments:

Post a Comment