Tuesday, December 6, 2011

UTAMA KAN URUSAN DAKWAH MU

Assalamualaikum wrt. wbt.

Kata seorang syeikh tarbiyah yang sedang menunggu kedatangan kita:
“Memiliki tak semestinya menikmati. Menikmati tak semestinya memiliki. Memiliki tapi tidak menikmati adalah perkara yang amat menyedihkan.”

Dan dengan tarbiyah telah banyak yang kita nikmati tanpa kita sendiri miliki. Ramai pula orang lain yang dilihat begitu banyak memiliki, tapi tidak mampu menikmati.

“Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasan-Nya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).” (Surah At-Taghabun: 17)

Begitu juga dengan kita yang ditarbiyah, akan sentiasa cuba memberi pinjaman yang baik yang kita miliki kepada dakwah ini.

Apa saja.

Bila-bila masa.

Melihat maslahat dakwah mengatasi musykilah fardi kita.

Inilah petanda awal kemenangan seruan ini. Tenteranya siap mengorbankan apa saja demi melihat cita-cita tertinggi seruan ini terlaksana.

Khadijah r.a yang kaya raya pada awalnya, telah jatuh miskin di akhir hayatnya. Habis semua hartanya diinfaqkan ke jalan ALLAH. Malah telah berwasiat untuk menginfaqkan tulang-tulangnya jika diperlukan oleh Islam selepas beliau meninggal dunia.

Hanzalah, terus maju ke medan perang walaupun baru semalam bersama dengan isteri yang baru dikahwininya. Dirinya syahid dalam keadaan berhadas besar. Apa kes nih?

Tidakkah kita lihat betapa bersungguhnya mereka memenuhi tuntutan dakwah ini?

Ada yang wujud, mengambil mudah urusan dakwah ini. Boleh saja tinggal ikut suka hati.

Bila dia rasa nak balik, dia balik.

Bila dia rasa tension, dia rehat ikut suka hati.

Bila dia rasa banyak kerja, dia lepaskan segalanya dengan bersahaja.

Bila bertembung dengan urusan peribadi, meminta dakwah memahami kehendak peribadinya!

Seakan-akan cita-cita peribadinya itu jauh lebih tinggi mengatasi cita-cita dakwah ini! Sedangkan ada sahaja cara yang boleh digunakan untuk sentiasa memenangkan dakwah. Tiada mujahadah atau usaha yang bersungguh-sungguh.

Mana pergi kefahamanmu? Mana pergi cita-citamu untuk dakwah ini?

Suatu hari Maududi pernah berkata:
”Bila kalian menyambut tugas dakwah ini tidak sebagaimana sikap kalian terhadap tugas yang menyangkut urusan peribadi kalian maka dakwah ini akan mengalami kekalahan yang nyata. Oleh kerana itu sambutlah tugas ini dengan ghairah.”

Lihatlah tuntutan dakwah ini melebihi tuntutan peribadimu!

Kerana cita-cita dakwah ini terlalu tinggi, mahu Islam ini dihormati di seluruh dunia! Merentasi benua!

Sementara cita-cita kamu hanya kecil. Menjadi seorang engineer, doktor, lawyer, cikgu, suami/isteri/mak/ayah dan.. (apa lagi ya?) di syarikat yang besarnya, hmmm… tak sebesar macam Malaysia pun…

Renung-renungkan dan ambillah iktibar. :)
 
(Source : KhadimulQuran)

Monday, December 5, 2011

2 DARI 3 DOA RASULULLAH S.A.W YANG DIPERKENANKAN OLEH ALLAH




‘Amir bin Said dari bapanya berkata bahawa : “Satu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu’awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W.
 Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T :
Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud : “Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu cuma dia memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.
 1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan. Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.
 2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a). Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.
 3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam). Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).
 Apa yang kita lihat hari ini ialah negara-negara Islam sendiri bergaduh antara satu sama lain, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, orang kafir menepuk tangan dari belakang, bahkan diri kita dengan orang sekeliling kita sendiri tidak bertegur sapa atau berselilsih faham.apakah ini cantik kita melihatnya ? renung2kan dan sama-sama kita memperbaikinya..

(Source : badrulhisham.net)

APABILA ALLAH MENYAYANGI KITA


Apabila Allah sayang kita, kita akan rasa bahagia, tenang, aman, dan tenteram. Seluruh hidup terasa penuh makna dan penuh cinta. Hati terasa begitu berkobar-kobar untuk beramal. Dunia terasa begitu luas untuk mereguk anugerah, kurniaan-Nya. Tidak ada apa yang kita risaukan selain untuk memenuhi panggilan Dia yang memberikan segala-galanya. Tidak ada apa yang kita takutkan melainkan kemurkaan-Nya.
Lalu Dia memberikan yang terbaik untuk kita. Dia menentukan yang paling baik untuk hidup kita. Dia mengaturkan jalan hidup terbaik untuk kita. Lalu dia mengangkat kita menjadi mulia di tengah-tengah manusia. Walaupun kita tidak meminta, namun Dia memenuhi hasrat dan keinginan yang kita pendam di sudut hati.

Namun, boleh jadi keadaan berbeza seketika, kadang-kadang. Apabila Allah sayang kita, diuji kita dengan rasa kesempitan dada, kepayahan dan penderitaan. Diberikan kita ujian yang paling berat yang tidak diberikan kepada orang lain. Kita selalu berasa keliru pada mulanya sebelum Dia memberikan jalan keluar dan petunjuk.
Manusia mencemuh, mencaci dan merendah-rendahkan kita hanya kerana kita membawa risalah-Nya. Bila kita meminta, tidak diberi-Nya serta-merta. Dibiarkan kita merintih sampai rasa penghambaan itu benar-benar lahir dan terasa manisnya. Benar janji Allah bahawa barangsiapa bertakwa, akan diberikan jalan keluar baginya. Namun, boleh jadi jalan keluar itu berliku-liku sebelum sampai kepada penyelesaian yang paling memuaskan.

Oleh itu, haruskah kita merasakan bahawa Allah membenci kita tatkala apa yang kita inginkan tidak diberi-Nya? Atau apa yang kita hajatkan tidak ditunaikan-Nya?


Haruskah kita merasakan bahawa Allah membenci kita tatkala hidup kita penuh kesengsaraan dan kepayahan?

Alangkah indahnya kalau dapat kita fahami bahawa setiap inci ujian yang kita alami adalah sentuhan kasih sayang daripada Allah. Pasti ada rahmat di sebalik ujian.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar: 53)
 

Persoalannya, kita selalu bertanya-tanya sama ada Allah sayang kita atau tidak, sebaliknya pernahkah kita risau sama ada kita betul-betul sayangkan Allah melebihi segala-galanya?





AL-QURAN YANG KITA ABAIKAN

 



Setelah belasan atau puluhan tahun kita hidup, bagaimanakah interaksi kita dengan al-Quran? Bagaimanakah kualiti bacaan al-Quran kita?
Bagaimanakah pula dengan penghayatan kita terhadap apa yang ditulis dalam al-Quran?
Sejauh manakah kita merasakan bahawa al-Quran itu hidup dalam hati kita, dan hidup kita secara keseluruhannya adalah berpandu kepada acuan al-Quran?
 Persoalan-persoalan ini mungkin akan menimbulkan jawapan-jawapan yang kurang memuaskan atau mungkin mengecewakan.
“Eh, aku dah khatam dah waktu darjah 5 dulu tau!”.
 “Takpelah, aku tak pandai sangat baca Quran, segan la nak tadarus”.
 “Kalau ada masa lapang aku baca la Quran”.
 “Ye ke Quran ni lengkap?”.
 “Alah, aku baca je, tak pernah tengok pun maknanya. Takpe, dapat pahala jugak”.
 “Dah lama dah tak baca. Tak sempat la. Sibuk sikit..”

Kalau begini layaknya sikap kita terhadap al-Quran, bagaimanakah mungkin diri kita itu terbentuk dengan al-Quran?
 Bagaimanakah mungkin al-Quran itu menjadi panduan agung dalam kehidupan kita sedangkan kita tidak pernah mengetahui sekalipun pengertiannya?
Maka kita harus menyelami hati dan mula memikirkan, bagaimana seharusnya kita bersikap terhadap al-Quran? Adakah dengan mengambilnya sebagai bahan bacaan ‘mengisi masa lapang’ atau ‘mesti’ cari masa untuk dibaca? 
Adakah dengan menjadikannya bahan bacaan atau bahan rujukan dalam segenap kehidupan?
Ya, al-Quran dengan bait-bait kata yang sama inilah yang menjadi pengubah kehidupan sebuah bangsa Arab Jahiliah menjadi Khayru Ummah. Al-Quran dengan mesej yang sama sejak dulu inilah yang menjadi inspirasi terbebasnya Konstantinopel di tangan Islam. Al-Quran dengan suruhan dan tegahan yang sama sejak dulu inilah yang menjadi sebab tertegaknya pemerintahan Islam.
Namun, mengapakah kita tidak menjadi sebegitu hebat dengan al-Quran ini? 
Adakah salah al-Quran atau salah Umat Islam?
Tadabbur. Itulah kunci yang akan memberikan impak al-Quran dalam kehidupan kita. Menghayati dengan ertikata yang sebenar, meyakini dengan sepenuhnya dan membawa segala mesej tersebut untuk dipraktikkan dalam kehidupan.
Al-Quran bukan semata-mata untuk para Qari yang sedap dan merdu bacaannya.
 Al-Quran juga bukan hanya untuk ahli tafsir yang diberikan petunjuk oleh Allah untuk menggali segala persoalan dalam al-Quran.
 Al-Quran bukan hanya untuk ustaz-ustaz yang memetiknya untuk dijadikan bahan ceramah.
Namun al-Quran untuk semua, untuk panduan umat manusia secara keseluruhannya. Maka setiap daripada kita wajib mendalami dan menghayati al-Quran, menjadi ‘Al-Quran yang bergerak’, hidup dengan acuannya.
Firman Allah:
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (An-Nisa’: 82)

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?” (Muhammad: 24)
Maka sekarang kita perlu mengubah orientasi pemikiran. Kalau sebelum ini al-Quran itu kita anggap sebagai bahan bacaan, sekarang mari melangkah setapak dengan menjadikannya sebagai bahan penghayatan. Bahan rujukan untuk segenap isu dalam kehidupan. Bahan penyelesaian kepada segala permasalahan yang dialami dan dirasai. Berpandukan kepada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh para Ulama’ seperti Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Fi Zilalil Quran Syed Qutub, dan tafsir-tafsir lain.
 Kita selak dan kita dalami al-Quran. Insya-Allah, hidup kita akan menjadi semakin terarah dan semakin membaik kerana kita mengambil sebuah panduan yang tidak bengkok sama sekali.
 “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab suci al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Al-Kahfi:1)